Friday, July 6, 2012

ALHAMDULILLAH TAHNIAH PADA HALUAN TEGAR BANTU SYRIA

HALUAN TEGAR BANTU SYRIA

Haluan tegar bantu di Syria
Haluan tegar bantu di Syria
Melalui Biro Misi Kemanusiaan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Malaysia telah pun menghantar pasukan bantuan pertama ke sempadan Jordan-Syria pada 28 Mac hingga 5 April lalu.
Dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan Islamic Centre Charity Society (ICCS) dan NGO Turki, The Foundation For Human Rights And Freedoms And Humanitarian Relief (Insani Yardim Vakfi ), ringkasnya IHH di Jordan, pasukan tersebut menghulurkan
bantuan kebajikan dan rawatan perubatan di kawasan penempatan pelarian di Mafraq dan Ramtha.
Dr Baharudin berkata, misi bantuan kemanusiaan Syria diteruskan lagi. Kali ini, pasukan kedua Haluan telah menghantar sukarelawan ke Antakya (Hatay) sempadan Turki-Syria.

Pasukan yang terdiri daripada dua doktor perubatan dan dua sukarelawan diketuai dirinya sendiri selaku Ketua Biro Misi Kemanusiaan Haluan.
“Sebelum ke Antakya, pada 12 Jun lalu, pasukan kedua singgah di Istanbul dan mengadakan perbincangan dengan NGO Turki IHH di ibu pejabatnya.
"IHH adalah antara NGO yang aktif dan diberi kebenaran kerajaan Turki untuk mengendalikan permasalahan pelarian Syria yang melebihi 30,000 orang.
Di Antakya, pasukan bantuan kemanusiaan Haluan telah bekerjasama dengan IHH,” katanya.
Menurut koordinator IHH, Sellahatin Ozer, IHH telah memulakan operasi membantu pelarian Syria sejak April 2011, yang pada masa itu hanya terdapat 250 orang pelarian.
“Kini, kami bersama kerajaan Turki dan Bulan Sabit Turki mengendalikan sebanyak 11 kem pelarian di sekitar bandar ini yang dihuni lebih daripada 30,000 pelarian, dan masih lagi menerima kemasukan pelarian yang baru masuk,” katanya.
Tanam periuk api
Selain di kem pelarian kata Dr Baharudin, terdapat juga lebih 300 keluarga pelarian ditempatkan di rumah sewa di sekitar bandar Antakya. Berbeza dengan situasi di Jordan, kerajaan Turki amat prihatin dengan pelarian Syria yang ditempatkan di kem pelarian.
Selain bantuan dan penjagaan yang lebih sistematik, setiap kem pelarian disediakan hospital lapangan, taman permainan kanak-kanak dan khidmat kaunseling.
Sukarelawan, Riniyuzam berkata, pasukan mereka dibenarkan memasuki dua kem pelarian di Boynuyogun dan Yayladagi yang setiap satunya dihuni lebih dari 3,500 pelarian.
Walaupun tidak dibenarkan membuat rawatan perubatan, mereka diberi taklimat mengenai keadaan pelarian oleh ketua kem Bornoyugun, Mustafa Bey, sebelum dibawa melawat seterusnya bertemu seorang doktor yang bertugas di hospital lapangan di dalam kem tersebut.
“Pada hari kedua kami bersama sukarelawan IHH menyiapkan barangan sumbangan yang perlu diagihkan kepada setiap keluarga pelarian. Gudang empat pintu yang diisi barangan sumbangan kendalian IHH ini dibahagikan kepada sektor barangan makanan, barangan perubatan dan keperluan harian lain yang diperlukan.
"Berhampiran dengan gudang tersebut terdapat sebuah trak yang diubahsuai sebagai sebuah hospital bergerak sumbangan NGO dari Qatar,” katanya.
“Kami tidak punyai ayah lagi, dia telah syahid mempertahankan diri di negara kami," ujar seorang remaja perempuan yang tidak mahu memberikan namanya dan menjadi wakil kepada ibunya ketika menerima bantuan kami.
Sepanjang lima hari pasukan bantuan kemanusiaan Haluan berkhidmat di Antakya, pihaknya juga diberi peluang ke kawasan sempadan yang paling hampir dengan Syria.
“Di situ kami dibawa ke sebuah perkampungan di mana beberapa keluarga pelarian Syria tinggal sejak setahun yang lalu bersama jiran mereka di sebelah Turki. \
Hanya sebatang jalan yang memisahkan kampung di Guvecci, Turki dengan kawasan pergunungan Syria.
Seorang tua bernama Abu Abduh berkata sambil menunjukkan kepada kami rumahnya dan ladangnya di sebalik gunung kawasan Syria.
“Itulah ladang dan rumah kami sekeluarga sebelum berlakunya pergolakan ini. “Dan kami sekeluarga tidak dibenarkan masuk ke ladang sendiri oleh tentera Syria yang sentiasa berkawal dan telah menanam banyak periuk api,” tambahnya lagi dengan kesayuan.

Dilarang solat
Dr Baharudin berkata, dari rumah tumpangannya, mereka nampak pos kawalan tentera Syria yang ada di beberapa lokasi di pergunungan berhampiran sempadan. Abu Abduh dan beberapa rakannya juga pernah di penjarakan oleh rejim Bashar Assad kerana disyaki  membantu pemberontak pada awal tahun 90an.
“Kami juga dapat melihat beberapa kawasan hutan pergunungan yang sedang dibakar pihak Syria kerana mengelakkan ia menjadi kawasan persembunyian tentera mereka yang berpaling tadah dan membentuk pasukan Free Syrian Army.
Satu kesempatan yang kami tidak dapat lupakan ialah dapat bertemu dengan dua pakar perubatan yang sedang berlindung di Turki.
Mereka di antara ribuan doktor dan profesional yang terselamat daripada kekejaman rejim Bashar Assad.
Menurut pakar Urologi, Dr Salim (bukan nama sebenar) beliau telah dipenjarakan selama enam bulan kerana merawat mereka yang cedera akibat tembakan rejim Bashar di Idlib.
“Saya hanya diberikan dua keping roti sehari dan setiap empat jam akan dikenakan kejutan elektrik serta dipaksa mengakui bahawa ia adalah upahan pihak yang menentang Assad,” kata Dr Salim kepada kami.
Manakala seorang lagi pakar kanak-kanak, Dr Malek (bukan nama sebenar) ketika dalam tahanan tidak dibenarkan bersolat.
“Saya hanya boleh sembahyang di depan pengawal penjara rejim dan dengan syarat meletakan gambar Bashar di tempat sujud.
“Sejurus dibebaskan daripada tahanan dua bulan lepas, saya diarahkan meninggalkan Syria segera sekiranya beliau ingin hidup lama lagi,” katanya.
Haluan melalui Biro Misi Kemanusiaan akan meneruskan usaha membantu rakyat Syria yang menjadi pelarian sama ada di Turki, Jordan mahupun di Lubnan.